comscore
Tumpuan :
Nasional

Terdengar bunyi pergerakan tanah sebelum tebing runtuh

Ihsan JBPM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUCHONG: Terdengar bunyi pergerakan tanah sebelum berlaku runtuhan tebing di tapak pembinaan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) di Taman Mas, di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, susulan itu, siren telah dibunyikan yang berjaya menyelamatkan kesemua kira-kira 100 pekerja di tapak projek berkenaan.

Ihsan JBPM

“Dalam siasatan awal yang dilaksanakan oleh JBPM Selangor, kita dapati semua pekerja berjaya untuk keluar daripada tapak pembinaan, dimaklumkan sendiri oleh pengurus projek di mana proses runtuhan tebing mengambil masa lebih kurang 20 minit.

“Bermula dengan bunyi pergerakan tanah, mereka telah mengaktifkan siren dan mengeluarkan pekerja projek ke tempat yang selamat. Alhamdulillah dalam masa 20 minit itu, semua pekerja berjaya diselamatkan,” katanya yang ditemui Buletin TV3 di tapak pembinaan terbabit hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, pekerja tapak pembinaan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1)berdepan detik cemas apabila tebing runtuh dan menenggelamkan kawasan projek berkenaan sedalam 19 meter.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.14 petang dan menggerakkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya membabitkan kekuatan lapan pegawai serta anggota.

Beliau turut mengarahkan pihak pengurusan projek untuk menghentikan sementara kerja pembinaan.

Ihsan JBPM

Sementara itu, Gamuda Berhad dalam kenyataan memaklumkan, tiada kecederaan dialami oleh pekerja pembinaan mahupun orang awam dalam kejadian tersebut.

Menurut kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu, semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air terbabit dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, seramai lapan anggota dari BBP Cyberjaya akan melakukan rondaan kali kedua di tapak pembinaan hari ini.

Ia bagi memantau dari segi keselamatan dan kepatuhan arahan henti sementara kerja pembinaan yang dikeluarkan JBPM semalam.

“Kita akan buat pemantauan dan serahkan maklumat ini kepada pihak berkenaan untuk membuat penilaian sama ada projek ini boleh diteruskan atau perlu mengambil tindakan sepatutnya.

“Pemantauan ditamatkan setelah (JBPM) berpuas hati dengan maklumat yang diterima,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menganugerahkan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bernilai RM1.97 bilion kepada Gamuda Berhad pada 2022.

Projek itu bagi membina loji rawatan air dengan kapasiti 700 juta liter sehari (MLD) berhampiran Tanjung Dua Belas serta struktur takungan berkapasiti 1,400 MLD untuk mengeluarkan air mentah tambahan dari bekas kolam perlombongan di Taman Putra Permai, Puchong.

Gamuda Berhad dilapor berkata, projek yang dimulakan pada 15 Julai 2022 dan dijangka selesai menjelang 30 Jun 2025, akan membantu menyelesaikan isu kekurangan margin bekalan rizab air rendah yang dihadapi oleh penduduk Klang dan Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini