Oleh: Selwam Arjunan
KUALA NERANG: Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) telah menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum di sempadan Malaysia – Thailand, di sektor kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia, semalam.
Jurucakap 2 Divisyen berkata pasukan beroperasi telah mengesan dan menahan lima orang lelaki yang menaiki tiga buah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia ketika rondaan kira-kira jam 10.30 malam.
“Hasil pemeriksaan didapati bahawa dua daripada tiga buah kenderaan tersebut dipenuhi dengan muatan 120 buah plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 1,200 kilogram.
“Kesemua daun ketum tersebut cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan yang tidak sah.
“Kelima-lima lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia berumur 19 hingga 45 tahun. Anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk tiga buah kenderaan pacuan empat roda, lapan telefon bimbit pelbagai jenama dan lain-lain barangan peribadi adalah berjumlah RM 327,572.13,”
Katanya, kesemua barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada pihak Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.