GERIK: Seorang anggota tentera ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas manakala seorang lagi masih hilang susulan gagal menyeberangi sungai sewaktu menjalankan tugas gerakan operasi di hutan Royal Belum, di sini.
Difahamkan, mangsa yang ditemukan lemas dikenal pasti sebagai Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, 20-an, manakala Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, 20-an, masih hilang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata laporan berhubung insiden menimpa dua anggota tentera itu diterima jam 8.56 pagi tadi, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati dua mangsa berkenaan bersama tujuh lagi anggota tentera yang lain sedang cuba menyeberangi Sungai Merah kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu (29 November), namun dua mangsa berkenaan gagal menyeberangi sungai berkenaan dengan keadaan arus adalah deras.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, dua lelaki berkenaan yang merupakan anggota tentera dipercayai lemas di kawasan Royal Belum semasa menjalankan tugas gerakan Operasi Kota Echo/Foxtrot.
“Susulan itu penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang kemudiannya membawa kepada penemuan satu daripada mangsa yang sudah meninggal dunia.
“Satu mangsa sudah ditemui meninggal dunia akibat lemas, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.