KOTA BHARU: Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan berkuat kuasa 4 Januari lalu.
Warta Kerajaan Negeri Kelantan bertarikh 11 Januari memaklumkan bahawa langkah itu adalah atas perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Ia juga selaras keputusan mesyuarat oleh Ahli-Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada jam 3.30 petang, 4 Januari lalu.
“Bagi memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), bahawasanya kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan kehadapan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.”
“Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan putera zuriat Almarhum Sultan Ismail Petra, menepati dengan maksud Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” kata warta itu.
Warta itu turut memaklumkan bahawa Sultan Muhammad V turut menarik balik akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Katanya, penarikan itu berdasarkan kepada kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dibaca bersama dengan Seksyen 47 Interpretation Acts 1948 and 1967.