Tumpuan :
Nasional

Tengku Maimun bakal bersara tahun ini

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berucap ketika majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Putrajaya. FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Setelah hampir enam tahun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mengumumkan bakal bersara pada tahun ini.

Ujarnya sejak menjawat jawatan itu pada 2019, pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Malah ada pihak yang menggunakan suami beliau sebagai alasan untuk mengenepikan beliau daripada mendengar prosiding mahkamah.

“Sebagai Ketua Hakim Negara, saya telah dikritik, difitnah, dilabel tidak Islam atau musuh Islam, suami saya (secara tidak adil) telah dipergunakan terhadap saya dalam beberapa permohonan untuk bukan sahaja saya menarik diri tetapi secara amnya, untuk memalukan saya dan rakan sekerja saya,” katanya dalam ucapan Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025, hari ini.

Bagaimanapun cabaran itu tidak pernah menghalang beliau dari terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ujarnya sepanjang perkhidmatan, beliau berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa apa yang perlu diperbaiki hendaklah diperbaiki dan apa yang tidak perlu diubah akan kekal.

FOTO: NSTP

“Apabila menerima pelantikan, saya komited sepenuhnya untuk melakukannya dengan betul, saya tidak akan tunduk atau tunduk kepada mana-mana orang walau bagaimana tinggi dan perkasa, untuk melakukan apa yang dia minta daripada saya.

“Saya sentiasa berniat untuk menunaikan sumpah terutamanya dalam memastikan Perlembagaan berkuasa dan saya tidak berpandukan pertimbangan lain selain undang-undang dan fakta mana-mana kes dalam batasan prinsip yang ditetapkan oleh kehakiman.

Tegasnya, seorang Hakim sama ada lelaki atau perempuan hendaklah sentiasa membuat keputusan dengan adil, saksama dan objektif.

Hadir dalam majlis hari ini, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar; dan Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab.

Majlis turut disertai kira-kira 200 orang terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang

Tengku Maimun dilantik menjadi menjadi Ketua Hakim Negara wanita yang pertama, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April 2019.

Pelantikan itu berkuatkuasa pada 2 Mei 2019.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini