Tumpuan :
Nasional

Pemangku Diraja Pahang Sempurnakan Pentauliahan Diraja ATM

Oleh Zulfakhri Shamzul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pemangku Diraja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja dan pengurniaan watikah tauliah pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Perdana Sungai Besi pagi Sabtu.

Ketibaan Tengku Hassanal disambut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Istiadat perbarisan membabitkan 643 orang Pegawai Kadet ATM daripada gabungan 4 buah Kolej Perkhidmatan iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI) dan Akademi Tentera Udara (ATU).

Daripada jumlah itu, seramai 7 orang menerima penyampaian Anugerah Pedang Kehormat berserta Piala sebagai Pegawai Kadet Terbaik.

Selesai istiadat perbarisan,Tengku Hassanal turut mengurniakan watikah tauliah kepada 416 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 101 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 126 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) di Dewan Tun Templer , ALK disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh Pegawai Muda yang baru ditauliahkan.

Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM adalah istiadat yang diadakan secara tahunan.

Bagaimanapun, istiadat itu tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Loading...
Terkini