KUCHING : Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan perlu meneliti proses perolehan projek Lebuhraya Pan Borneo dengan melaksanakan kaedah tender pra-kelayakan bagi menjimatkan masa untuk melantik kontraktor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kaedah dicadangkannya itu berbeza dengan amalan biasa kerana tender dibuka dengan menetapkan kriteria tertentu yang perlu dipenuhi kontraktor.
“Kaedah yang saya cadangkan itu berbeza dengan tender terbuka yang terpaksa mengambil masa lama untuk diputuskan terutama apabila banyak tender yang masuk.
“Menerusi kaedah ‘pre-qualified tender’ (tender pra-kelayakan) pula, tender akan dibuka dengan kriteria tertentu dengan sesiapa yang berminat boleh masuk, kemudian akan dikenal pasti mereka yang layak dan dalam kalangan yang layak itu nanti barulah akan dipanggil memasuki tender sebenar,” katanya selepas merasmikan Program Outreach Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional serta Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kaedah itu antara langkah untuk mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah yang dipertanggungjawab kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, menerusi kaedah itu proses tender akan lebih cepat dan kerajaan lebih mudah melantik kontraktor yang boleh diharapkan mampu melaksanakan projek.
“Kita tidak mahu apabila menerusi kaedah tender terbuka, ramai yang akan masuk tetapi akhirnya kontraktor tidak seperti yang diharapkan, sekali gus akan menjejaskan projek,” katanya.
Fadillah berkata, beliau diberi tanggungjawab membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyelaras dan mengenal pasti permasalahan pelaksanaan projek antara kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
Mengulas perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo, Fadillah berkata, fasa pertama di Sarawak sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri kini hampir 98 peratus siap.
“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah melihat sendiri dan berpuas hati melihat perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.
“Bagaimanapun, di Sabah masih lagi menjadi cabaran dengan 18 pakej lagi yang bakal ditender dan mengikut laporan KKR, proses tender itu diharapkan akan dapat diselesaikan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas projek Lebuh Raya Trans Borneo yang menghubungkan Limbang dan Lawas melalui Brunei sebelum memasuki Sabah, Fadillah berkata, proses tender juga sedang berjalan.
“Yang ini (projek Lebuhraya Trans Borneo) akan dilaksanakan secara tender terbuka oleh KKR.
“Bagi projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR – jalan tidak melalui Brunei) pula, fasa seterusnya juga dalam proses penilaian sekarang ini pada peringkat makmal dan sedang dimuktamadkan di peringkat KKR.
“Apabila makmal sudah disempurnakan nanti, maka proses tender akan dilaksanakan,” katanya.
Artikel berkaitan: Fasa pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap November ini