comscore
Tumpuan :
Nasional

Tenaga bersih tidak akan rencatkan pembangunan minyak dan gas – PETRONAS

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Peralihan dunia ke arah penggunaan tenaga bersih dijangka tidak akan merencatkan pembangunan berterusan sumber minyak dan gas di negara ini, demikian kata Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan.

Lagipun, katanya, Malaysia juga mempunyai sumber gas asli yang lebih tinggi berbanding minyak, yang mana gas juga adalah sumber tenaga yang lebih bersih.

Pada masa ini, beliau berkata, Malaysia mengeluarkan sekitar 1.7 juta tong minyak setara sehari, yang mana dua pertiga daripadanya adalah gas asli, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik dalam menghadapi cabaran di era peralihan tenaga.

“PETRONAS menyasarkan untuk terus meningkatkan kadar pengeluaran minyak dan gas sehingga mencecah dua juta tong minyak setara sehari menjelang 2025 bagi memenuhi permintaan domestik dan global.

“Fokus utama bagi mencapai sasaran itu ialah dengan meningkatkan kadar penemuan dalam aset sedia ada dan mempercepatkan projek dalam rancangan,” katanya kepada BH.

Pada Disember yang lalu, PETRONAS telah mengumumkan sebanyak 10 penemuan hidrokarbon yang baharu di Malaysia sepanjang tahun 2022, berikutan peningkatan aktiviti cari gali di seluruh negara.

Lapan penemuan minyak dan gas dibuat di luar pesisir Sarawak dan masing-masing satu di luar pesisir Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Penemuan minyak terbesar telah dibuat oleh PETRONAS Carigali di telaga Nahara-1 di Blok SK306 dalam wilayah Balingian di luar pesisir Sarawak.

Selain itu, penemuan juga dibuat di wilayah Luconia Tengah, Luconia Barat dan Baram di luar pesisir Sarawak, yang mana adalah antara lembangan paling prolifik di Malaysia dan menempatkan banyak lapangan gas yang sedang beroperasi di Malaysia.

Menuju ke hadapan, Mohamed Firouz berkata, PETRONAS sedang giat meninjau peluang dalam sektor perniagaan bukan tradisional, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui dan bahan kimia khusus.

Beliau berkata, sektor perniagaan bukan tradisional akan menjadi enjin pemacu bagi pertumbuhan PETRONAS, selain daripada sektor minyak dan gas.

Selain itu, Mohamed Firouz berkata, PETRONAS melihat perkembangan yang memberangsangkan dalam teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (Carbon Capture & Storage) di Malaysia menerusi pembabitan dalam projek Kasawari CCS di luar pesisir Sarawak yang sedang dibangunkan.

Beliau berkata, projek itu dijangka mengurangkan jumlah karbon dioksida yang dibebaskan melalui pembakaran sebanyak 3.3 MtCO2e (juta tan metrik karbon dioksida setara) setiap tahun, yang menjadikannya salah satu projek CCS luar pesisir yang terbesar di dunia.

Katanya, projek itu dijangka membuka laluan kepada usaha pelaksanaan rancangan nyah karbon jangka masa panjang PETRONAS ke arah mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini