HULU SELANGOR: Disebabkan ada najis tikus serta tahap kebersihan yang tidak memuaskan tiga kedai makan di sini hari ini diarah tutup selama 14 hari oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Tindakan itu dibuat selepas Unit Kawalan Penggredan dan Premis Makanan MPHS menjalankan pemeriksaan secara bersasar terhadap premis yang dibuka waktu malam di sekitar kawasan Hulu Bernam dan Lembah Beringin, Isnin dan Selasa lalu.
“Operasi selama dua hari ini membabitkan anggota penguatkuasa MPHS seramai 10 orang. Sebanyak empat premis telah diperiksa dan tiga daripadanya didapati berada dalam keadaan sangat tidak memuaskan.
“Susulan itu, UKPPM melaksanakan penguatkuasaan dengan menutup ketiga-tiga premis tersebut. Tindakan diambil di bawah seksyen 62, Undang-undang Kecil Establishment Makanan (Majlis Daerah Hulu Selangor) 2007 kerana terdapat hurungan najis tikus didalam premis perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga premis itu diberhentikan operasi hingga 25 September ini.
“Sebanyak tiga kompaun turut dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPHS.
“Pihak premis diarahkan mematuhi arahan-arahan pembersihan dan kawalan serangga perosak. Sebarang aktiviti perniagaan tidak boleh dijalankan sepanjang tempoh penutupan berlaku,” katanya.