Tumpuan :
Nasional

Tempah janji temu pergigian di MySejahtera mulai hari ini

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mulai hari ini, sistem Janji Temu secara atas talian melalui aplikasi MySejahtera di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) bakal diperluas kepada perkhidmatan kesihatan pergigian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, peluasan itu akan mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian selain daripada kaedah ‘walk-in’ yang masih lagi diteruskan.

“Peluasan Sistem Janji Temu MySejahtera baharu ini menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui Perkhidmatan Pesakit Luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui peluasan sistem tersebut juga, KKM akan memperkenalkan fungsi ‘Automated Reminder’ melalui aplikasi MySejahtera yang mana orang awam akan diberi notifikasi untuk hadir pada masa dan tarikh yang telah ditempah.

Pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama, manakala sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan.

Namun, Datuk Dr Muhammad Radzi berkata, bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu.

“KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah mendigitalkan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik Kedua iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.

“Sehubungan itu, Pendigitalan Sistem Janji Temu Perkhidmatan Kesihatan Pergigian melalui aplikasi MySejahtera ini berpotensi meningkatkan efisiensi sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara serta tahap kesihatan pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati sebanyak 15 peratus daripada penduduk negara ini tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi dengan pengamal pergigian seumur hidup mereka.

Manakala sebanyak 50 peratus daripada penduduk hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih dari dua tahun lalu.

Menurut Datuk Dr Muhammad Radzi, situasi tersebut amat membimbangkan kerana berdasarkan Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan Untuk Golongan Dewasa 2010, kejadian penyakit gusi dan karies gigi dalam kalangan dewasa masih tinggi dengan masing-masing 90 dan 89 peratus.

Loading...
Terkini