comscore
Tumpuan :
Nasional

Tempah guna nama agensi kerajaan, katering rugi RM90,000

Foto hiasan

SEREMBAN: Polis menerima tiga laporan sepanjang bulan lalu membabitkan penipuan tempahan katering menggunakan nama agensi kerajaan dengan kerugian mencecah RM90,000.

Difahamkan, suspek akan menghubungi katering dan mengaku daripada jabatan tertentu lalu menempah makanan bagi majlis besar, namun ia sebenarnya tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihak penyedia perkhidmatan katering menanggung kerugian selepas sempat melakukan persediaan untuk majlis berkenaan.

“Pada Ogos lalu, polis menerima tiga laporan berkait dengan modus operandi sindiket tempahan makanan dalam kuantiti yang besar secara talian yang menyalahgunakan nama agensi kerajaan membabitkan kerugian berjumlah RM90,750.

“Mangsa adalah pemilik perniagaan katering di sekitar kawasan Seremban yang hanya berurusan melalui panggilan telefon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihubungi individu yang tidak dikenali untuk membuat tempahan makanan dan cenderahati dengan jumlah yang besar namun selepas persiapan dibuat semakan dengan agensi terbabit mendapati tempahan tidak wujud.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini