LIPIS: Seramai 346 penduduk membabitkan 106 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Lipis, Bera dan Temerloh akibat banjir, hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataannya berkata, setakat 8 pagi, daerah Temerloh merekodkan mangsa paling ramai membabitkan seramai 250 orang daripada 76 keluarga yang ditempatkan di PPS Seri Semantan.
Menurut APM, Lipis mencatatkan 79 mangsa daripada 26 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Lubuk Kulit (52 mangsa daripada 19 keluarga) dan PPS Masjid Beletik (27 mangsa daripada tujuh keluarga).
Katanya, di Bera terdapat 17 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di PPS SK Seri Buntar. – HARIAN METRO