comscore
Tumpuan :
Nasional

Tembok konkrit asrama runtuh, pelajar patah tulang pinggul


SETIU: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun patah tulang pinggul kiri selepas dihempap tembok konkrit di bilik air asrama sekolah di daerah ini di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.10 pagi ketika mangsa bersama seorang rakannya sedang membasuh baju di kawasan kolah di asrama berkenaan.

Beliau berkata, dua pelajar yang sedang membasuh baju itu kemudian terdengar bunyi pelik di bawah binaan tempat mengambil air wuduk sebelum berlakunya runtuhan itu.

Pasukan bomba membantu pelajar yang dihempap tembok konkrit di sebuah asrama sekolah di Setiu. FOTO: Ihsan PDRM

“Ketika itu, rakan mangsa sempat melarikan diri namun mangsa gagal berbuat demikian menyebabkan dia dihempap dan tersepit di bawah runtuhan berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa yang patah tulang pinggul kiri dan disyaki mengalami kecederaan pada bahagian perut akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapaie berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.22 pagi sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa terperangkap di bawah runtuhan konkrit sebelum kerja-kerja menyelamatkan segera dijalankan.

“Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum dia diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Loading...
Terkini