comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tembakan di KLIA 1 cubaan bunuh, seorang cedera


KUALA LUMPUR: Bunyi tembakan menggemparkan pengembara dan kakitangan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), di sini awal pagi tadi dipercayai cubaan bunuh ke atas seorang wanita tempatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku di Balai Ketibaan KLIA 1 pada 1.15 pagi.

“Seorang lelaki tempatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah wanita yang juga isterinya.

“Tembakan itu bagaimanapun mengenai seorang orang awam lain dan suspek kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Hussein berkata, kes terbabit bermotifkan perselisihan antara suami isteri dan tiada kaitan dengan isu pengganas, ekstremis mahupun gangguan awam lain.

“Dalam kejadian ini seorang mangsa yang terkena tembakan mengalami kecederaan di bahagian perut, tiada kecederaan lain,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.

Seorang wanita dipercayai berada di lokasi ketika kejadian memuat naik hantaran di Facebook, mendakwa mangsa yang terkena tembakan adalah pengawal peribadinya.

Dalam hantaran sama, individu itu memaklumkan sudah membuat laporan polis dan satu kenyataan rasmi akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini