KUALA LUMPUR: “Setakat ini, saya tak pernah jumpa lagi telur ayam import dari India yang dikatakan dibawa masuk ke Malaysia untuk mengatasi kekurangan telur ayam di negara ini,” kata peniaga Rizal Hussin, 50.
Rizal yang berniaga kuih di sekitar Kampung Baru di sini berkata, dia sedia maklum mengenai langkah negara mengimport telur ayam dari India, namun tidak pernah lagi menemui telur berkenaan di kedai runcit mahu pun pemborong telur.
Menurutnya, dia biasanya membeli sahaja telur ayam yang ada di pasaran kerana memerlukannya sebagai bahan utama membuat kuih jualannya.
“Sebagai pengguna, apa yang ada (telur) di pasaran saya tetap beli tetapi saya cubalah mencari telur Gred B tempatan sebab harganya murah sedikit berbanding telur Gred A.
“Saya kadang-kadang hairan dengan isu telur ini, ada dengar kata dah okay tetapi bila cari tak ada pula. Ini pasal telur import pula, kerajaan kata ada namun dalam pasaran tak ada pula jumpa,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pekerja swasta Nashrah Zulkoolit, 33, turut berkongsi pengalaman sama apabila menghadapi kesukaran menemui telur ayam yang dikatakan diimport dari India di pasaran.
“Kerajaan import telur tetapi tak tahu di mana telur itu dijual sebab saya tak pernah jumpa. Hari ini, kebetulan saya lalu ke sini (Lorong Haji Hussein 3, Jalan Raja Bot Kuala Lumpur) ternampak pekerja kedai borong memunggah telur ayam, saya singgah untuk beli.
“Biasanya saya beli telur di kedai runcit berdekatan rumah di Kampung Padang Balang, Gombak…itu pun ketika krisis kekurangan telur kena buat tempahan dahulu dengan kedai berkenaan,” katanya.
Muhammad Safeq Muhammad, 27, dari Taman Dato’ Senu, Sentul, di sini, pula berkata, dia dan isterinya Aisa Muhammad Alias, 25, tidak pernah mencari telur ayam import dari India sebab memilih untuk tetap membeli produk telur ayam tempatan.
Katanya, walaupun ada kalanya mengalami kesukaran untuk membeli telur tetapi dia tetap berusaha pergi daripada satu kedai ke satu kedai bagi mendapat bekalan untuk seisi rumahnya.
Sementara itu, penyelia kedai Pemborong Telur, Plastik dan Barang Runcit Perniagaan Wah Sing (KL) Sdn Bhd di Lorong Haji Hussein 3, Azrin Mohalim, 21, berkata, syarikat mereka belum menerima telur ayam import dari India.
Beliau berkata, telur import yang dibawa masuk itu hanya ada di sebuah jenama pasar raya tempatan.
Tinjauan mendapati untuk harga telur yang dijual pada hari ini di kedai borong itu adalah Gred AA (RM15.90), Gred A (RM13.50), Gred B (RM12.90), Gred C (RM 12.30), Gred D (RM12.30) dan Gred E (RM12).
Tinjauan turut mendapati stok telur ayam tempatan yang dihantar dari Melaka ke kedai borong berkenaan sebanyak 1,700 papan hampir habis tidak sampai sejam selepas diturunkan dari lori.
Sementara itu pemandu lori Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd Simpang Ampat Alor Gajah Melaka, Radzy Azmi, 30, berkata, dia difahamkan bekalan telur ayam tempatan akan kembali stabil antara Februari dan Mac tahun depan.
“Hari ini saya bawa 3,400 papan dari Melaka yang dihantar ke kedai pemborong di Lorong Haji Hussein 3 di Jalan Raja Bot sebanyak 1,700 papan dan sebanyak 1,700 papan lagi di kedai pemborong di Setapak.
“Kemungkinan dalam Februari atau Mac ini (tahun depan) barulah telur ayam ada banyak semula seperti sebelum ini,” katanya.
Baru-baru ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam import dari India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan.
MAFS sudah membawa masuk telur ayam dari negara luar itu untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara bulan lalu.