KOTA KINABALU: Lima daerah masih terjejas akibat banjir di Sabah setakat pagi ini, termasuk Telupid dan Tawau yang dilaporkan kawasan terkini dilanda banjir akibat hujan berterusan di daerah terbabit.
Situasi itu menyebabkan bilangan mangsa yang dipindahkan akibat banjir terus meningkat dengan jumlah terkini setakat jam 8 pagi ini seramai 6,843 mangsa daripada 2,412 Ketua Isi Rumah (KIR).
Jumlah itu menunjukkan, peningkatan berbanding 6,453 mangsa yang dipindahkan setakat jam 4 petang semalam.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Kota Marudu kekal sebagai daerah yang mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 4,789 mangsa, diikuti Pitas (1,201 mangsa) dan Paitan (720 mangsa).
Daerah Pitas dan Paitan mencatat peningkatan sekali ganda jumlah mangsa yang dipindahkan setakat pagi ini berbanding masing-masing 554 mangsa dan 371 mangsa petang semalam.
Bagaimanapun, satu lagi daerah iaitu Kudat yang mencatat 739 mangsa banjir semalam dilaporkan pulih.
Sementara itu, daerah Tawau mencatat seramai 109 mangsa, manakala Telupid seramai 24 mangsa banjir setakat pagi ini.
Semua mangsa kini ditempatkan di 30 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah terjejas, termasuk dua PPS di Telupid iaitu Dewan Kampung Maau dan Masjid Kampung Gana Jati.
Di Tawau, satu PPS dibuka setakat ini iaitu di Dewan Mini Al-Mukarramah Kampung Tanjung Batu Keramat. – BERITA HARIAN