Tumpuan :
Nasional

Teluk Kemang berubah wajah, tiada lagi deretan khemah biru

Keadaan pantai Teluk Kemang tanpa khemah biru selepas diarahkan tutup oleh MPPD berkuat kuasa pada 18 November lalu. – FOTO: NSTP

PORT DICKSON: Pantai Teluk Kemang yang dahulunya terhalang dengan deretan khemah biru kini berubah wajah dan pengunjung dapat menikmati sepenuhnya keindahan pantai.

Tindakan tegas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan semua pengusaha khemah biru di pantai terbabit menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November lalu mendapat sokongan pengunjung.

Tinjauan pada hujung minggu baru-baru ini mendapati, pengunjung kini lebih bebas untuk berkelah sambil menikmati pemandangan pantai yang menjadi perbalahan orang ramai.

Kebanyakan mereka juga berharap suasana itu dapat dikekalkan sampai bila-bila dan bukannya bersifat sementara.

Eksekutif syarikat swasta, Ahmadiah Osman, 46, yang datang dari Putrajaya berkata, suasana pantai tanpa khemah ini membuatkan dia lebih seronok untuk datang berkelah berbanding sebelum ini.

“Pantai Teluk Kemang ini sebenarnya sudah cantik, tetapi kita tak nampak sangat sejak beberapa tahun lalu sebab ditutup dengan deretan khemah biru membuatkan keadaan jadi tidak menarik.

“Setiap kali datang ke sini saya tak pernah sewa khemah itu pun sebab harganya agak mahal, selalunya saya akan bawa kerusi dan tikar untuk berkelah kerana saya suka suasana lebih santai,” katanya ditemui semalam.

Dia berharap suasana itu dapat dikekalkan dan bukannya buat seketika kerana pantai ini milik awam.

Peniaga, Mohd Haris Abdul Ghani, 37, juga berharap pemantauan secara berterusan perlu dilakukan kerana dibimbangi ia berulang kembali di masa hadapan.

“Akhirnya kita boleh lihat pemandangan yang indah di Pantai Teluk Kemang hingga ada yang menggelar kawasan ini ‘Teluk Khemah’ kerana selama ini ia terhalang oleh deretan khemah yang tidak dikawal milik pengusaha.

“Sebelum ini macam-macam cerita yang kita dengar mengenai isu khemah biru ini dan ia boleh menjejaskan imej Port Dickson sebagai kawasan pelancongan yang popular,” katanya.

Bagi suri rumah, Rozita Rozi, 45, keindahan pantai Teluk Kemang sudah dapat dilihat lebih menarik dan bergambar pun seronok.

“Kalau boleh kekalkan keadaan ini sampai bila-bila supaya pengunjung lebih bebas bentang tikar tanpa gangguan pengusaha khemah hinggakan dulu ada yang bergaduh kerana dihalau dari bentang tikar di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini