Tumpuan :
Nasional

Teliti Cadangan Sarawak dalam Kertas Putih Kesihatan untuk autonomi Kesihatan

KUCHING: Semua cadangan daripada kerajaan Sarawak akan diteliti dan diambil kira dalam proses penyediaan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen.

Penelitian itu termasuk permintaan kerajaan Sarawak bagi mendapatkan autonomi dalam aspek kesihatan seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak sebelum ini menyokong sepenuh cadangan dalam Kertas Putih Kesihatan yang pernah dibentangkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat sebelum ini namun pelaksanaannya tertangguh disebabkan pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Autonomi kesihatan sesuatu yang kompleks kerana ia bergantung dengan keperluan berapa yang kita mahu dalam autonomi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan seminar Hand and Healthcare Environment Hygiene di Kuching.

Beliau berkata, menjadi harapan agar cadangan dan pemintaan yang dikemukan oleh Sarawak dalam Kertas Putih berkenaan dapat dipertimbangkan seterusnya dibawa ke persidangan Dewan Rakyat semula untuk diperincikan sebelum kuaasa autonomi berkenaan diserahkan kepada pentadbiran negeri.

“Ini penting kerana penjagaan kesihatan melangkaui pembinaan hospital atau klinik kesihatan sebaliknya ia turut melibatkan implikasi kewangan kerana rakyat negara ini membayar amaun yang rendah untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Ia juga melibatkan aspek perundangan serta penempatan tenaga kerja kesihatan,” katanya.

Menurut Dr Sim, Pemberian kuasa autonomi terhadap aspek kesihatan kepada kerajaan negeri tidak bermakna keseluruhan sistem terbabit diserahkan kepada kerajaan negeri sebaliknya ia bertuujuan untuk menambah baik sistem berkenaan.

Katanya, Autonomi terbabit melangkaui kertas putih Kesihatan kerana ia melibatkan banyak pihak termasuk Jabatan Peguam Negeri serta pelabagai agensi yang berkait dengan aspek-aspek kesihatan awam dan tidak hanya kepada penyediaan infrastruktur kesihatan semata-mata.

Loading...
Terkini