Tumpuan :
Nasional

Telegram, Wechat mula proses permohonan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Pengendali aplikasi komunikasi, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) untuk beroperasi di negara ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua platform dijangka memenuhi syarat yang diperlukan dalam masa terdekat.

“Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial,” katanya sambil memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut.

Pada masa sama, MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum
tarikh akhir pada 31 Disember ini.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil, walaupun ianya adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.

Menurut MCMC, kerangka itu dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.

Jelasnya, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik dan perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.

“MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” katanya.

MCMC sebelum ini mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini