comscore
Tumpuan :
Nasional

Telegram, SKMM & PDRM bekerjasama banteras jenayah 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Telegram komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk membanteras jenayah yang berlaku di aplikasi tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui dalam pertemuannya bersama wakil penyedia perkhidmatan berkenaan, yang turut disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM. Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Telegram untuk membendung jenayah yang berlaku di aplikasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan itu dihadiri pihak SKMM yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Salim Fateh Din bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pegawai tertinggi PDRM.

Dalam mesyuarat selama satu jam di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, Fahmi menegaskan kepada pihak Telegram bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di aplikasi terbabit.

“Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia,” katanya.

Sejak Januari 2020 hingga Mei 2023, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat negara ini akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu. Insya-Allah, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Fahmi mendedahkan, pihaknya sudah bertemu dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan platform media sosial yang lain termasuk META kecuali Telegram.

Ujarnya, Telegram dilihat enggan bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani aduan berkaitan isu keselamatan siber, penipuan dan penjualan barangan terlarang di platform itu.

Pada 28 Mei lalu, Telegram dilaporkan berkata, pihaknya tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam ‘sebarang bentuk tapisan politik’.

Jurucakapnya, Remi Vaughn dipetik sebagai berkata, pihaknya secara giat memantau kandungan berbahaya dalam platform berkenaan termasuk penjualan bahan terlarang dan lucah.

Loading...
Terkini