KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan tindakan yang wajar diambil terhadap Telegram susulan kegagalan memberikan kerjasama.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihak pengurusan Telegram telah dipanggil sejak Januari lalu susulan banyak aduan berhubung salah guna platform tersebut termasuk melibatkan penipuan dalam talian.
“Pihak SKMM sebenarnya telah bertemu dengan hampir semua penyedia perkhidmatan platform media sosial, pertemuan terkini bersama Meta yang menguruskan Facebook, Instagram dan Whatsapp.

“Kebanyakan platform ini memberikan kerjasama, kita cuma hadapi masalah dengan pihak Telegram.
“Kita lihat ini akan jadi isu maka saya telah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneliti apakah tindakan yang wajar untuk diambil.
Tambah Fahmi, aduan terbaharu diterimanya adalah daripada Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melibatkan penjualan point untuk doktor menerusi platform berkenaan.
“Doktor-doktor pada setiap tahun perlu ikuti persidangan, seminar, kursus-kursus bagi kemajuan kerjaya mereka.“Tetapi didapati ada pihak yang cuba menjual point begitu.
“Jadi kita lihat bukan hanya dalam isu seperti ini tapi saya difahamkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti jualan dadah, sebaran pornografi dan scam (penipuan dalam talian),” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tema dan Logo Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.