KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan akaun Telegram kendalian seorang wanita yang membincangkan topik lucah dan menyebarkan fahaman menyimpang daripada syarak berkaitan perhubungan suami isteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu sedang dalam tindakan serta siasatan lanjut MCMC di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Berkenaan memanggil dan membuat pertemuan dengan wanita berkenaan, JAKIM telah berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memandangkan pihak berkenaan menetap di negeri Terengganu.
“Pihak JAKIM juga telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pihak JHEAT bagi membolehkan satu siasatan dilakukan,” katanya.