comscore
Tumpuan :
Nasional

Tekong bot terjun laut elak ditahan disyaki jalankan aktiviti bom ikan

Oleh: Safwan Sawi

SEMPORNA: Empat buah bot dirampas dipercayai ditinggalkan ketika menjalankan aktiviti pengeboman ikan di Timur Laut Tanjung Tabu-Tabu, di sini, petang semalam.

Walau bagaimanapun tekong bot bersama awak-awaknya sempat terjun ke laut meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, ketika kejadian dua buah bot peronda Maritim sedang dalam penugasan Operasi Pluto Timur menjalankan rutin rondaan di sekitar kawasan Tanjung Tabu-Tabu.

“Setibanya di lokasi, anggota bot peronda Maritim berjaya mengesan empat buah bot tiada nombor pendaftaran yang sedang berapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot bersama awak-awaknya telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bot-bot yang ditinggalkan di Timur Laut Tanjung Tabu-Tabu dipercayai digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan.

Ujarnya, hasil pemeriksaan di dalam kesemua bot didapati sejumlah ikan yang dianggarkan hampir 50 kilogram (kg) keseluruhannya, serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan juga telah dijumpai di atas dua buah bot yang dirampas.

Menurutnya lagi, hasil nilai rampasan dianggarkan hampir RM20,000 dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).

Susulan penahanan berkenaan, tegas Amir, pihak Maritim tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktivi pengeboman ikan kerana ia bukan sahaja salah disisi undang-undang malah boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama para penyelam.

“Tambahan lagi aktiviti ini akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian.

“Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah, orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta agar menyalurkan maklumat dan aduan kepada Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Loading...
Terkini