Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor berjaya menahan seorang tekong bersama tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Op Taring Gelora di perairan Forest City hari ini.
Kejadian berlaku apabila bot ronda PSC 29 mengesan sebuah bot tanpa lampu bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Selepas aksi kejar-mengejar berlaku selama 30 minit, bot berkenaan berjaya dipintas PPM terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati tekong serta tiga penumpang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi ini, PPM merampas sebuah bot gentian kaca dan empat unit telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM18,300.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Polis dalam satu kenyataan berkata tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Tampo untuk tindakan lanjut.
Katanya, PPM Wilayah Dua akan terus memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.