Oleh Ain Shafiqah Zaki
Selain menjadi masyarakat yang celik teknologi, negara juga perlu kehadapan dalam menggunakan teknologi terkini yang mampu mengekang jenayah siber.
Ketua Inovasi Digital Yayasan Digital Malaysia, Mohd Fazli Azran berkata adalah satu keperluan untuk negara mendidik masyarakat lebih sedar dan mahir penggunaan teknologi bagi mengelakkan negara kerugian lebih banyak lagi akibat ancaman siber.
“Teknologi baharu boleh diguna pakai bagi mengatasi isu itu. Masyarakat harus mengambil tahu mengenai perkembangan terkini dan tidak akan terpedaya dengan web bukan bukan”, katanya.
Mengulas lanjut beliau berpendapat penggunaan antivirus dan rangkaian persendirian maya atau lebih dikenali sebagai VPN, harus digunakan secara lebih meluas.
“Telefon bimbit juga perlu antivirus, untuk mengelakkan kita dari tersalah klik, buka emel spam. “Antivirus akan bantu kita untuk kesan, tapis dan blok kandungan yang tidak selamat untuk telefon bimbit kita.
“Kesedaran untuk menggunakan VPN juga agak rendah di kalangan rakyat Malaysia dan mereka lebih berminat menggunakan kemudahan terbabit untuk melayari laman web lucah, katanya lagi.
Lebih penting warga emas dan kanak kanak seharusnya dipantau dengan menggunakan beberapa perisian supaya tidak ramai lagi yang akan terkena di masa hadapan.
“Banyak perisian yang wujud di App Store atau Google Play, pengguna hanya perlu memilih perisian mana yang sesuai supaya dapat pantau apa yang mereka buat,” jelasnya.
Kerajaan juga patut memainkan peranan penting contohnya membuat kempen kesedaran atau memperuntukkan dana bagi rakyat Malaysia untuk melanggan perisian antivirus.
Semalam Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman memaklumkan Malaysia mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta pada tahun lalu.
Kes yang direkodkan membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.