comscore
Tumpuan :
Nasional

Teknologi canggih seperti ‘Blockchain’ perlu dimanfaatkan, perkukuh rangka kerja pensijilan halal – TPM

Foto: NSTP

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Teknologi canggih seperti ‘Blockchain’ yang digunakan beberapa negara maju perlu dimanfaatkan dan diadaptasi di negara ini dalam meningkatkan rangka kerja pensijilan halal Malaysia.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia bagi memperkukuhkan proses pensijilan halal, mengurangkan halangan perdagangan dan sejajar dengan piawaian global.

“Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kekal sebagai tunjang dalam membimbing peralihan ini, rangka kerja pengawalseliaan yang dipertingkatkan akan membantu mengurus permintaan yang semakin meningkat dengan cekap, melancarkan proses pensijilan, dan mengekalkan amalan halal yang konsisten dan boleh dipercayai.

“Selain itu, untuk mempertingkatkan rangka kerja pensijilan halal kita, kita juga perlu memanfaatkan teknologi canggih seperti blockchain. Negara-negara seperti UAE, Arab Saudi, dan Australia sudah menggunakan blockchain untuk meningkatkan ketelusan dan membanteras penipuan dalam pensijilan halal,” jelasnya.

Foto: NSTP

Tambah Ahmad Zahid, langkah strategik itu dijangka dapat meningkatkan keyakinan pengguna selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal terkemuka di peringkat global.

“Sebagai kesimpulan, komitmen kita yang tidak berbelah bahagi dalam mempertingkatkan ekosistem halal menekankan dedikasi Malaysia terhadap kecemerlangan dalam pensijilan halal.

“Sempena meraikan 50 tahun pencapaian yang cemerlang… adalah penting untuk kita mengiktiraf sumbangan mereka yang telah memperjuangkan amalan halal, memacu inovasi, dan memastikan pematuhan kepada undang-undang Syariah.

“Usaha gigih anda sebagai “pejuang halal” telah meletakkan Malaysia sebagai mercu kepimpinan halal global, dan atas itu, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada anda semua,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2024 dan Sambutan Jubli Emas Halal Malaysia anjuran JAKIM di ibu negara malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini