Oleh: Daniel Ahmad
STATISTIK terkini mengenai kanser di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Menurut laporan, pada tahun 2020, sebanyak 48,639 kes baharu kanser telah dilaporkan di Malaysia.
Lebih membimbangkan, menjelang tahun 2040, penyakit kanser di negara ini dijangka meningkat dua kali ganda, mencerminkan keperluan mendesak untuk kesedaran dan pencegahan awal.
Kajian juga menunjukkan bahawa 1 daripada setiap 10 rakyat Malaysia akan menerima diagnosis kanser sepanjang hayat mereka.
Risiko sepanjang hayat untuk mendapat kanser adalah 1 dalam 10 bagi lelaki dan 1 dalam 9 pula bagi wanita, menandakan ancaman yang perlu diberi perhatian serius.
Pengesanan Kanser Menggunakan Teknologi AI
Malaysia kini mengambil langkah besar dalam memerangi kanser dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam saringan awal, yang berpotensi untuk mengubah cara negara menangani pengesanan dan rawatan kanser.
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa badan lain, telah melancarkan program saringan kanser menggunakan X-ray yang diperkasakan dengan AI dikenali sebagai Qure.AI.
Menurut Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy berkata teknologi canggih ini membolehkan pengesanan kanser paru-paru secara lebih tepat dan pantas berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini.
“Dengan menggunakan teknologi AI, kadar pengesanan kanser paru-paru kini telah meningkat beratus kali ganda, yang memberi harapan untuk merawat kanser pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan peluang penyembuhan,” katanya.
Dr Murallitharan juga menekankan bahawa salah satu kelebihan utama teknologi AI ini adalah kosnya yang rendah.
“Saringan awal ini hanya memerlukan kos kurang dari RM10, menjadikannya jauh lebih berpatutan berbanding dengan kaedah saringan lain seperti CT scan, yang mahal dan kurang tersedia di sesetengah hospital.
“Ia juga telah dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Malaysia dan teknologi ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menjalani saringan tanpa mengira status kewangan mereka,” tambahnya.
Selain pengesanan kanser, terdapat teknologi AI yang mempunyai potensi besar dalam meramalkan kebarangkalian pesakit untuk mengalami semula kanser dalam tempoh beberapa tahun.
Salah satu teknologi AI lain yang digunakan adalah Digistain, yang diasaskan di United Kingdom dan telah diterapkan secara berperingkat di Malaysia.
“Teknologi ini bukan sahaja mengesan kanser, tetapi juga memberikan maklumat penting mengenai rawatan dan ubat-ubatan yang sesuai untuk setiap pesakit.
“Ini membolehkan rawatan yang lebih tepat dan efektif, mengelakkan pembaziran masa dan wang dengan memastikan pesakit menerima rawatan yang benar-benar mereka perlukan,” kata Dr Murallitharan.
Beliau juga berkata cabaran terbesar yang dihadapi oleh NCSM kini adalah memastikan penggunaan teknologi AI ini dapat dilaksanakan secara meluas dan berpatutan.
Masa Depan Penjagaan Kanser
Pesakit kanser sering berdepan tekanan dari segi psikologi kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan kematian.
Masa depan penjagaan kesihatan tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada rawatan fizikal semata-mata, tetapi juga harus memberi perhatian yang serius terhadap kesihatan mental, terutamanya bagi pesakit kanser.
Dr Murallitharan berkata lebih daripada 70 peratus pesakit kanser mengalami masalah kesihatan mental yang serius, termasuk kemurungan yang boleh menjejaskan keputusan rawatan mereka.
“Kadang-kadang, pesakit tidak dapat menjalani rawatan kemoterapi kerana masalah kesihatan mental yang mereka alami.
“Oleh itu, sokongan psikologi yang mencukupi amat penting dalam memastikan pesakit kanser dapat terus menjalani rawatan dan mencapai tahap kesihatan yang lebih baik,” tambah beliau.
Menurut beliau, walaupun KKM ada menyediakan khidmat bantuan psikologi dan kaunseling di hospital, namun ia sangat terhad.
“Perkhidmatan sokongan psikologi di hospital itu ada tetapi jumlah kakitangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit kanser dan ini menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu dalam jangka masa yang lama.
“Oleh itu, kami telah mula menggajikan pegawai sokongan kesihatan mental, termasuk psikologi klinikal, kaunselor dan sebagainya, dan menyediakan khidmat ini kepada KKM,” kata Dr Murallitharan.
Beliau juga berkata mereka menyediakan perkhidmatan sokongan mental secara percuma bagi pesakit kanser yang memerlukan, sekaligus menampung kekurangan kakitangan di hospital kerajaan.
“Ini memberi kesan yang besar terhadap penjagaan mental pesakit kanser.
“Pada mulanya, saya tidak nampak kepentingannya, tetapi selepas itu saya mula memahami dan kalau bukan kami, siapa lagi yang akan lakukan?,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.