Oleh: Prof Madya Ts. Dr Nor Shahniza Kamal Bashah
Dalam era digital yang berkembang pesat, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin menjadi tumpuan utama dalam memperbaiki perkhidmatan trafik rangkaian.
Dengan kemampuan AI untuk menganalisis data secara nyata (real-time) dan membuat keputusan pintar, banyak syarikat kini menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi perkhidmatan rangkaian mereka.
Walau bagaimanapun, penggunaan AI juga membawa beberapa cabaran dan kesan buruk yang perlu diberi perhatian.
Teknologi AI: Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Trafik Rangkaian
AI memainkan peranan penting dalam pengurusan trafik rangkaian melalui beberapa kaedah tertentu.
Pertama, melalui algoritma AI membolehkan ramalan tren perkhidmatan trafik rangkaian yang lebih tepat. Dengan menganalisis data trafik rangkaian yang lebih besar, AI dapat meramalkan beban trafik dan mengoptimumkan laluan untuk mengurangkan kesesakan penggunaan rangkaian. Selain itu, pemantauan masa nyata (real-time) membolehkan sistem AI membuat pelarasan secara langsung untuk disesuaikan dengan perubahan dalam corak trafik rangkaian.
AI juga cemerlang dalam mengesan anomali. Melalui teknologi AI, ia dapat mengenal pasti pola yang tidak biasa yang mungkin menunjukkan masalah teknikal atau ancaman keselamatan. Ini membolehkan tindakan cepat diambil bagi mengatasi masalah perkhidmatan rangkaian sebelum ia menjadi isu besar dan lebih berisiko.
Dalam hal pengoptimuman rangkaian, AI membantu dalam pengagihan sumber yang lebih efisien, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan prestasi keseluruhan perkhidmatan rangkaian. Beberapa syarikat terkemuka dalam industri teknologi telah melaporkan kejayaan yang signifikan dengan menggunakan AI untuk tujuan ini, menunjukkan potensi besar melalui teknologi AI.
Contohnya, Google telah menggunakan sistem AI mereka iaitu B4 untuk mengoptimumkan pengurusan data pusat mereka. Dengan menggunakan sistem AI bagi meramal dan mengurus beban trafik rangkaian, Google telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga dan meningkatkan kecekapan operasi pusat data mereka.
Cisco sebagai pemimpin dalam penyelesaian perkhidmatan rangkaian juga telah memanfaatkan AI dalam sistem mereka. Teknologi Cisco DNA (Digital Network Architecture) menggunakan AI untuk menganalisis trafik rangkaian dan pengoptimuman prestasi yang membolehkan pengurusan yang lebih proaktif dan responsif terhadap perubahan dalam corak trafik rangkaian.
IBM juga turut menunjukkan kejayaan dengan teknologi AI mereka melalui platform IBM Watson. Platform ini mengintegrasikan AI untuk memantau dan menganalisis trafik rangkaian secara nyata (real-time) dan membolehkan organisasi mengenalpasti masalah lebih awal dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera.
Keberhasilan syarikat-syarikat ini dalam memanfaatkan teknologi AI menunjukkan potensi besar teknologi ini dalam meningkatkan mutu dan efisiensi perkhidmatan trafik rangkaian, memberikan inspirasi dan contoh bagi syarikat lain untuk mengikuti jejak mereka.
Kesan Buruk Teknologi AI
Namun, walaupun banyak manfaat yang diperolehi masih terdapat beberapa kesan buruk yang perlu dipertimbangkan melalui teknologi AI yang digunakan. Salah satu kebimbangan utama ialah privasi. Pengumpulan data yang meluas oleh sistem AI menimbulkan risiko terhadap privasi pengguna dengan potensi penyalahgunaan data yang dikumpul.
Algoritma yang bersifat berat sebelah (bias) juga menjadi isu penting. Jika data yang digunakan untuk melatih AI bersifat berat sebelah, keputusan yang dihasilkan mungkin tidak adil dan boleh mempengaruhi pengurusan perkhidmatan trafik yang negatif.
Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai penggantian pekerjaan. Automasi melalui teknologi AI berpotensi menggantikan beberapa peranan dalam pengurusan perkhidmatan trafik rangkaian yang boleh menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor tersebut.
Kebolehpercayaan sistem juga menjadi perhatian. Kebergantungan yang berlebihan pada teknologi AI boleh menyebabkan masalah sekiranya sistem mengalami kegagalan atau masalah teknikal. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa terdapat pengawasan manusia yang mencukupi untuk melengkapkan keputusan yang dibuat oleh teknologi AI.
Mengatasi Kesan Buruk
Untuk meminimumkan kesan buruk ini, rekabentuk teknologi AI perlu mematuhi prinsip etika yang ketat. Ketelusan dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi AI adalah penting bagi memastikan bahawa sistem ini berfungsi dengan adil dan beretika.
Langkah-langkah perlindungan privasi seperti anonimisasi data juga perlu dipertimbangkan untuk melindungi maklumat peribadi pengguna.
Di samping itu, pendekatan yang seimbang dengan mengekalkan pengawasan manusia dapat membantu mengelakkan masalah yang timbul daripada kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi AI.
Kesimpulan
Teknologi AI menawarkan banyak manfaat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan trafik rangkaian dengan efisiensi dan keupayaan ramalan yang canggih.
Namun, kesan buruk seperti isu privasi, berat sebelah (bias), penggantian pekerjaan dan kebolehpercayaan sistem perlu diurus dengan baik. Dengan pendekatan yang berhati-hati dan beretika potensi AI dapat digunakan sepenuhnya di samping mengurangkan risiko yang mungkin timbul.
Artikel ini ditulis oleh Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Ts. Dr Nor Shahniza Kamal Bashah. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Buletin TV3.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.