KUALA LUMPUR: Perubahan teknologi yang pantas terutama menerusi Kecerdasan Buatan (AI) ketika ini memberi cabaran besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani jenayah moden.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengakui perkara itu, dan menyifatkan penjenayah dilihat lebih ke hadapan dalam menggunakan teknologi baharu untuk melakukan jenayah terutama jenayah siber.
“Teknologi bergerak terlalu pantas, Kecerdasan Buatan (AI) bergerak dalam tempoh 3.5 bulan, setiap itu akan ada satu perubahan baharu. Perolehan (naik taraf) teknologi kita mohon, memakan masa 3 tahun lebih.
“Penjenayah naik taraf teknologi setanding dengan perubahan teknologi sebab penjenayah dia ada duit banyak jadi mereka mampu.
“Kita penguat kuasa dalam konteks governance supaya perolehan itu dibuat betul saya setuju semua itu, tapi jurang itu membuatkan kita berada di belakang,” jelasnya.
Tambahnya, bukan hanya teknologi semata-mata, sebaliknya beberapa perubahan dalam PDRM juga sedang dilihat bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan itu pada masa depan.
Malah demografi jenayah ketika ini jelas Shuhaily dilihat terus berevolusi.
“Banyak perlu saya buat dalam konteks aset, sumber manusia, latihan, apa yang saya lihat saya perlu bawa JSJ memahami dunia jenayah siber.
“Kerana apa yang saya lihat demografi jenayah itu sudah berubah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Edisi Khas terbitan Buletin TV3 yang disiarkan hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.