Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Suspek yang juga merupakan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) berkemungkinan bakal ditamatkan pengajiannya susulan kes pelajar junior yang ditekap seterika.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, nasib penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu akan ditentukan menerusi pihak Lembaga Siasatan hari ini.
Beliau turut berkata, sekiranya didapati bersalah, pelajar itu juga perlu membayar kembali wang pengajiannya.
“Kita sudah selesaikan siasatan dan sudah tentu hasil siasatannya sama dengan siasatan polis, hanya daripada segi hukuman akan ditentukan (Lembaga Siasatan) hari ini, terhadap penuntut itu.
“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan berkompromi soal disiplin ini. Soal ‘ragging’ semasa orientasi itu bukan perkara baru, di mana-mana institusi pun ada, tapi tak pernah membabitkan soal kekerasan.
“Tindakan tegas akan diambil termasuk diberhentikan jadi kadet dan kita akan menuntut dibayar balik tanggungan pengajian yang sudah diberikan sepanjang masa pengajiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian 2024 hari ini.
Semalam, suspek utama kes itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk dirakam percakapan yang mengambil masa kira-kira lima jam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai kadet ALK cedera selepas mendakwa ditekap seterika oleh pelajar seniornya selepas diminta menggosok baju miliknya.
Pada 8 November lalu, Amirul Iskandar Norhanizan, 22 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, terhadap pertuduhan mencederakan mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.