AMARAN! Artikel/Video ini melaporkan berita/mengandungi kandungan berkaitan kesihatan mental.
Oleh: Nur Farhanin Abdullah
PETALING JAYA: Stres di tempat kerja boleh membawa kepada kepada pelbagai masalah sehingga pesakit cenderung mengambil nyawa sendiri.
Di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kurang daripada 5 peratus pesakit hadir mendapatkan rawatan manakala di luar sana yang dianggarkan mengalami masalah sama lebih selesa untuk berdiam diri.
Ketua Jabatannya, Dr Fariza Yahya berkata, kebanyakan pesakit yang dirujuk ke hospital adalah mereka yang sudah mengalami kemurungan teruk dan berkeinginan atau pernah cuba untuk membunuh diri.
“Jika masih diperingkat awal, mereka akan dirujuk kepada pegawai kaunselor, namun jika masalah kemurungan semakin teruk dan sudah menunjukan gejala psikosis serius, pesakit perlu dapatkan rawatan lebih intensif dengan pakar psikiatri.
“Sekiranya kemurungan dan ‘anxiety’ semakin teruk , pesakit cenderung untuk membunuh diri dan mungkin perlu dimasukkan ke wad psikiatri.,” katanya.
Kebanyakan pesakit diterima jabatan psikiatri HPRZ II adalah daripada golongan penjawat awam, antaranya guru, warden penjara, polis dan pegawai perubatan siswazah.
FAKTOR PERIBADI BOLEH JADI PUNCA STRES
Tambahnya lagi faktor penyebab masalah mental di tempat kerja memberi kesan dan impak yang sama dan yang membezakannya bergantung kepada individu itu sendiri.
“Faktor peribadi memainkan peranan besar kepada pencetus tekanan di tempat kerja dan paling utama cara setiap individu itu menghadapinya yang menjadi punca emosi dan pemikiran terganggu.
“Boleh jadi kita sendiri yang menjadi faktor kepada keadaan toksik itu. Jadi sebelum membuat kesimpulan punca kepada masalah tersebut, kita perlu siasat dengan teliti sebelum membuat sebarang spekulasi,”katanya.
Individu yang mengalami masalah tekanan di tempat kerja perlu memaklumkan kepada pihak berwajib dan dapatkan bantuan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu dapatkan rawatan psikiatri dan jangan malu kerana sekiranya lambat mendapatkan rawatan maka akan terjadilah perkara yang tidak diingini.
Pihak syarikat juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu pekerja berdepan masalah tekanan atau stres di tempat kerja dengan menyediakan tempat untuk kakitangan mengadu selain kenal pasti punca stres dan mengambil tindakan segera.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata menerusi dapatan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan mulai 1 Mac hingga September 2024, lebih 40,000 penjawat awam berisiko alami isu kesihatan psikologi.
Kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, kebanyakan petugas mengalami tekanan dan cenderung membunuh diri adalah disebabkan persekitaran tempat kerja serta status kesihatan termasuk berdepan masalah penyesuaian di tempat baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian akibat berjauhan dengan keluarga selain kekecewaan dalam perhubungan.
Sementara itu menurut Harian Metro, menerusi tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan sejuta penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.
Hasil tinjauan mendapati hampir separuh daripada jumlah itu berfikir mencederakan diri sendiri dan membunuh diri.
Berlaku peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalami kemurungan.
Jika anda memerlukan bantuan dan sokongan profesional berkaitan kesihatan mental, sila hubungi:
Talian Kasih
Tel: 15999 (24 Jam) atau 019-2615999 (WhatsApp)
Befrienders
Layari www.befrienders.org.my
Tel: 03-76272929 / 03-79568145 (24 Jam)
Atau layari Malaysian Mental Health Association (MMHA) maklumat penuh sokongan kesihatan mental.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.