comscore
Tumpuan :
Nasional

Tekanan angin rendah punca dua gangguan teknikal MRT 

– FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR : Dua gangguan teknikal perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang semalam berpunca daripada tekanan angin rendah.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataannya, memaklumkan keadaan itu menyebabkan tren berhenti dan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.

Gangguan pertama jelasnya membabitkan masalah teknikal di Stesen MRT Pasar Seni bermula jam 5.24 petang.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail berjaya menggerakkan tren terbabit pada 6.49 petang dan kekerapan perkhidmatan tren telah diselaraskan secara berperingkat pada 7.10 malam,” katanya.

Rapid Rail berkata, 10 bas perantara percuma disediakan antara Stesen MRT Muzium Negara dan Stesen MRT Maluri serta mengaktifkan pelan laluan alternatif bagi memudahkan perjalanan penumpang yang terkesan.

Mengenai gangguan teknikal di Stesen Batu 11 Cheras menghala ke Kwasa Damansara pada 7.23 malam, ia berkata pasukan kejuruteraan berjaya menggerakkan tren pada 8.04 malam serta kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat jam 8.10 malam.

“Kakitangan operasi dan Polis Bantuan ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas serta pengumuman dibuat menerusi media sosial Rapid KL, di semua stesen dan di dalam tren MRT untuk makluman penumpang,” katanya.

Rapid Rail memaklum pihak operasi telah melanjutkan perkhidmatan waktu puncak dengan kekerapan tren setiap enam minit sehingga jam 8.30 malam dan memohon maaf  atas kesulitan dialami penumpang.

Loading...
Terkini