Tumpuan :
Hiburan

Teka teki terlerai, Shuib akui nikah Watie Jun depan


PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu akhirnya mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan usahawan Watie Hanifiah, Jun depan sekaligus menamatkan teka teki hubungannya bersama wanita itu.

Kata Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 38, persiapan perkahwinannya bersama wanita kelahiran Perak itu sudah 30 peratus.

“Insya-Allah, majlis akan berlangsung selepas raya iaitu pada Jun depan. Nanti saya akan beritahu tarikhnya. Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi.

“Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami. Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” katanya kepada BH Online.

Shuib berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM di sebuah hotel, di sini, semalam.

Mengenai perasaan Watie, penyampai radio Suria FM itu berkata, bakal isterinya gembira, namun pada masa sama tidak menafikan cabarannya.

Shuib mengakui dengan adanya Watie, dia mampu mempunyai sistem sokongan yang baik, namun menegaskan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin tetap tiada galang gantinya.

Shuib menyifatkan Watie, wanita sangat baik kepada anak-anak dan orang tuanya malah, ibunya sendiri sangat menyukai keperibadian wanita itu.

“Arwah Siti Sarah tidak akan boleh diganti. Tetapi, hampir 20 peratus sisi Watie sama seperti arwah. Saya hargai bagaimana Watie menjaga anak-anak saya. Itu yang mahal. Saya nampak Watie boleh jadi ibu yang baik, insya-Allah. Saya nampak usaha yang Watie berikan kepada ibu saya, mentua dan anak-anak saya,” katanya.

Shuib kehilangan arwah Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Mereka dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.

Loading...
Terkini