Tumpuan :
Nasional

Tegas dokong prinsip keamanan, kekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu tunjukkan keupayaan memimpin dan halatuju sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi Titah Diraja menitahkan kerajaan perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dlm isu-isu serantau dan sempadan negara.

“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan terpelihara walaupun seketul batu karang di tengah laut,” titah baginda Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-15, hari ini.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu kekal tegas mendokong prinsip keamanan serta menentang keganasan penindasan.

“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah baginda.

Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-15, dimulakan dengan Titah Diraja, sebelum ditangguhkan.

Sultan Ibrahim menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai esok.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari, menurut takwim itu.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini