comscore
Tumpuan :
Nasional

Teater ‘Haji Murat’ selami semangat perjuangan Islam – PM

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Pementasan teater ‘Haji Murat’ merupakan peluang terbaik buat masyarakat khususnya anak muda untuk memahami sejarah perjuangan Islam dengan lebih mendalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teater yang berasaskan novel pendek karya Leo Tolstoy itu menceritakan tentang perjuangan wira Islam ketika dihimpit penjajah Rusia.

“Saya fikir perlu sangat kita ajak anak-anak muda terutamanya untuk lihat kekuatan novel ini yang dianggap antara karya penceritaan terindah dan terbaik di dunia.

“Dia menceritakan tentang kekuatan roh perjuangan Islam. Kamu (penjajah) tekan, cuba hancurkan dia akan tumbuh semula semangatnya menentang kezaliman dan penjajahan.

“Saya masih belum mengerti mengapa di dunia barat tidak begitu popular atau tidak dihebahkan (sejarah Haji Murat). Tak perlu tunggu mereka biar kita yang hebahkan,” katanya ketika berucap sebelum pementasan teater ‘Haji Murat’ di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa yang diadaptasi berdasarkan kisah benar pada 1851.

Ia mengisahkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentanginya untuk membalas dendam.

Karya sasterawan novelis ulung Rusia, Leo Tolstoy itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia, Dr Victor Pogadaev dan disunting Dr Anwar Ridhwan, sebelum diterbitkan DBP pada 2001.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, serta Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Pementasan teater ‘Haji Murat’ akan berlangsung selama empat hari bermula 26 Jun di Wisma DBP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini