comscore
Tumpuan :
Nasional

TDM komited teruskan pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi

Mohd Sofi menyantuni bapa Prebet Muhammad Syafiq, Abdul Halim Abdul Kadir di Baling, Kedah, hari ini. – FOTO: Ihsan PMTTD

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) komited untuk meneruskan pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim, yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei sejak 18 Jun lalu.

Jaminan itu diberikan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, ketika mengunjungi keluarga anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) itu di Baling, Kedah, hari ini.

Mohd Sofi yang menyantuni bapa anggota terbabit Abdul Halim Abdul Kadir, 51, berkata TDM dengan sepenuh daya dan usaha akan meneruskan pencarian sehingga Muhammad Syafiq dapat kembali ke pangkuan keluarganya.

Dalam pertemuan itu, Abdul Halim menyerahkan sepenuhnya urusan pencarian anaknya kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pada masa yang sama memohon agar masyarakat mendoakan agar anaknya segera ditemui.

Muhammad Syafiq Hilmi dari Batalion Ke-7 RS yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang ketika melaksanakan Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di pedalaman Limbang pada 18 Jun lalu.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menggunakan kaedah ‘air search dan ground search’.

Pencarian yang masuk hari ke-12 turut dibantu oleh anggota dari ‘Combat Air Rescue’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik TUDM, helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM.

Ops SAR dipergiatkan lagi dengan bantuan unit anjing pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM serta anggota JUPEM yang sedang melaksanakan Op UKUR.

Di sektor Brunei Darussalam, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini