Oleh: Kadir Edison
LUNDU: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenama rokok dan mercun dengan anggaran nilai berjumlah RM336,050 ke Indonesia pada Jumaat.
Divisyen Pertama Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Sel Perhubungan Raya berkata, anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Darat (TNI-AD) yang melakukan rondaan di Pos GABMA Kandaie telah terserempak dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah lori yang dilihat bergerak menuju ke sempadan Indonesia sekitar jam 12.30 tengah malam.
Menurutnya, pasukan rondaan kemudian menahan kedua-dua kenderaan terbabit namun mendapati pemandu bertindak melarikan diri ke arah sempadan Malaysia-Indonesia.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas dua kenderaan itu menemui 50 karton berisi mercun dan 3,800 karton rokok pelbagai jenama.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM336,050,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu, rampasan kesemua barangan terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.
Satu laporan polis juga dibuat di Balai Polis Lundu mengenai rampasan tersebut.
Sementara itu, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Abd Aziz merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota TDM yang berjaya menyekat cubaan penyeludupan barangan ke Indonesia.
“TDM akan terus komited untuk memperketat kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” tegasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.