comscore
Tumpuan :
Nasional

TDM bantu operasi memadam kebakaran sawah di pedalaman Sarawak

FOTO: Markas 1 Divisyen

KUCHING: Lokasi kebakaran hutan termasuk belukar dan sawah di kawasan yang jauh ke pedalaman Sarawak akibat cuaca panas ketika ini, menyukarkan kerja pemadaman segera dilakukan susulan ketiadaan balai bomba berdekatan.

Justeru, pasukan tentera yang terbabit dalam tugasan operasi di kawasan berkenaan dikerah untuk membantu usaha memadam api bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lebih luas.

Dalam kejadian di kawasan tanah tinggi Bario di pedalaman utara Sarawak, kelmarin, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit yang sedang menjalankan operasi bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), dihantar membantu kerja-kerja memadam kebakaran sawah.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, terdahulu dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bario hadir ke Pos Kawalan Tentera Bario kira-kira jam 5 petang kelmarin, bagi meminta bantuan anggota TDM memadamkan kebakaran itu.

Susulan itu pada jam 5.20 petang, beliau berkata, sepasukan anggota Trup Batalion Keenam Rejimen Sempadan (6 RS) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari pos tentera.

Foto: Markas 1 Divisyen

“Hasil kerjasama pasukan TDM diketuai Leftenan Muhammad Haziq Aiman Zainudin bersama empat anggota dan PBS Bario, kebakaran di kawasan sawah berdekatan Jalan Penghulu Lawai itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.45 petang.

“Operasi memadam api itu turut dibantu oleh penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembabitan Trup 6 RS membantu operasi memadam kebakaran itu meningkatkan kerjasama dan koordinasi dengan agensi awam.

“Ia selari Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30, iaitu Gagasan Tentera Bersama Rakyat.

“Panglima 9 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun, mengucapkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terbabit membantu PBS Bario itu,” katanya.

Beliau berkata, TDM akan terus komited dan sentiasa bersiap sedia diaturgerakkan bagi membantu agensi awam walaupun ketika melaksanakan operasi mengawal keselamatan persempadanan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini