Tumpuan :
Nasional

Tayar lori tercabut punca nahas 7 maut di Ayer Keroh

Kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka. FOTO: NSTP

ALOR GAJAH: Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, malam tadi, berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah treler dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan lori berkenaan tercabut sebelum tercampak di tengah-tengah lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah bas terlanggar tayar itu menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas terbabit kemudian merempuh Perodua Bezza, menyebabkan kereta itu terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan.

“Kenderaan yang membawa 27 penumpang itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi treler dan sebuah Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, sebanyak lima kenderaan terlibat termasuk sebuah bas persiaran, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.

Ashari berkata, kejadian menyebabkan pemandu bas dan seorang penumpang serta pemandu Toyota Estima bersama empat penumpangnya maut di tempat kejadian.

Tambahnya setakat ini lima mangsa yang maut sudah dikenal pasti iaitu pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, dua tahun; dan bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66.

Katanya, identiti seorang penumpang bas dan seorang lagi penumpang Toyota Estima yang maut masih belum dikenal pasti.

Manakala dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan adiknya, Nur Sofea Humaira,4, dilaporkan cedera.

Dua beradik itu masing-masing dirawat di zon merah dan kuning di Hospital Melaka.

Semua kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini