Tumpuan :
Nasional

Tayar lori terbabit nahas di Melaka tercabut akibat kerosakan pada hujung gandar hadapan – Puspakom

Keadaan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh arah Utara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Lori yang terbabit nahas mengorbankan tujuh nyawa di Ayer Keroh, Melaka pada 23 Disember lalu kemungkinan tercabut tayar akibat kerosakan pada hujung ‘stub axle’ yang terputus di gandar hadapan.

Perkara itu dimaklumkan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) berdasarkan pemeriksaan dilakukan terhadap lori berjenama Foton yang terbabit kemalangan itu.

Kenderaan itu diperbuat pada 2023 dan sudah melakukan Pemeriksaan Awalan di Puspakom pada 28 Mac lalu, dengan pemeriksaan akan datang dijadual dijalankan pada 28 Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, penemuan ini sebagai peringatan penting kepada pemilik kenderaan perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan mengikut jadual ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

“Penyelenggaraan secara berkala bukan sahaja penting untuk keselamatan pemandu tetapi juga bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Puspakom komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 23 Disember lalu, tujuh maut, manakala 33 yang lain cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Mereka yang maut termasuk lima sekeluarga terdiri pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama penumpang Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Dua lagi yang turut terkorban adalah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura yang juga pemandu pelancong, Lamrah Asid Ali, 66.

Dalam pada itu, Mahmood Razak berkata, Puspakom menyokong langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memeriksa dan memantau bengkel berdaftar serta tidak berlesen yang disyaki menyediakan perkhidmatan penyewaan komponen kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan.

“Operasi ini wajar disokong semua rakyat Malaysia, termasuk pemilik kenderaan perdagangan bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya.

“Kami berharap tindakan JPJ dan KPDN dapat menghapuskan bengkel-bengkel yang menjalankan perniagaan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Puspakom turut menyarankan bengkel terbabit perkhidmatan sedemikian untuk menghentikan aktiviti mereka serta merta, demi melindungi nyawa orang ramai.

Beliau berkata, ini kerana bengkel yang menawarkan perkhidmatan sedemikian perlu sedar bahawa mereka mempertaruhkan nyawa demi keuntungan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini