KUALA LUMPUR: Perbuatan menayangkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum, adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak tampil membuat laporan polis terhadap individu yang berbuat demikian.
“Sekiranya ada laporan polis, kita akan siasat. Buat masa ini belum ada laporan (diterima) setakat jam 6 petang tadi.
“Kalau ada laporan dia menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah, mungkin kesalahan yang kita boleh jeniskan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menentukan kerahsiaan dalam pengundian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.
Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi.
Dalam pada itu, Razarudin berkata pihaknya berpuas hati dengan perjalanan PRN yang berlangsung di enam negeri yang bebas daripada sebarang insiden tidak diingini sehingga semua pusat undi ditutup pada jam 6 petang tadi.
“Daripada awal lagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang bersiap siaga dan daripada kesiapsiagaan kita dengan penugasan pegawai dan anggota di bawah, saya amat berpuas hati dengan penugasan mereka di lapangan”, katanya.
Artikel berkaitan : Tunjuk kertas undi, Sanusi langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954