Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PUTRAJAYA: Sejumlah 4,914 kekosongan jawatan tetap ditawarkan Kementerian Kesihatan Malaysia KKM bagi tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa jumlah itu terdiri daripada 4,263 jawatan pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.
Ujarnya iklan kekosongan jawatan itu dibuka mulai hari ini sehingga 21 Januari.
“Saya berharap calon yang layak dapat mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di sini, hari ini
Dalam pada itu beliau menegaskan kerajaan memandang serius perkembangan terkini mengenai situasi penularan pandemik COVID-19 di luar negara ketika ini.
Dr Zaliha berkata pihaknya terus memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam berdepan dengan kemunculan subvarian Omicron.
“Kita mempunyai pengalaman yang sangat berharga ketika negara berdepan dengan gelombang varian Delta dahulu”
“Antara beberapa langkah yang diambil adalah seperti menilai secara dekat perkembangan mutakhir serta bekerjasama rapat dengan negara serantau khususnya negara jiran seperti Thailand dan Singapura serta badan kesihatan antarabangsa (WHO) dalam memperkukuhkan strategi kawalan dar pencegahan penularan COVID-19 berdasarkan fakta sains dan analisa data” katanya.
Tambahnya saringan ke atas pengunjung yang bergejala dan disyaki dijangkiti COVID-19 dilakukan dan tindakan segera diambil untuk tujuan isolasi atau rawatan lanjut.