Tumpuan :
Nasional

Tawar Ganjaran Lumayan AS$2 Juta Untuk Tahan Rakyat Malaysia Lolos

Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim (dua dari kanan) bersama Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (dua dari kiri) memasukkan dokumen ke dalam peti surat ketika penyerahan memorandum berkaitan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kedutaan Laos di Jalan Damai, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kerja didakwa menjanjikan ganjaran lumayan AS$2 juta (RM9.1 juta) bagi menahan rakyat Malaysia yang berjaya melarikan diri dari Golden Triangle, dipercayai tempat mangsa dikurung di Laos.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata sindiket berkenaan didakwa menawarkan ganjaran itu kepada mana-mana individu yang dapat menangkap semula rakyat negara ini yang berjaya meloloskan diri.

Katanya, empat rakyat negara ini berjaya melarikan diri dari Golden Triangle dengan pelbagai cara dan dimaklumkan hari ini juga ada enam lagi individu yang berjaya diselamatkan.

“Mereka ada yang mengorek lubang untuk menyelamatkan diri dan sindiket menawarkan wang ganjaran sebanyak dua juta (AS$) sekiranya ada orang dapat menahannya.

“Rakyat kita di Laos dikurung dan diseksa. Selain dipaksa terbabit dengan jenayah penipuan, ada yang diugut untuk dijual kepada sindiket lain, dilacurkan dan dijual organ mereka.

“Malah, kita dapat maklumat secara tidak rasmi sudah ada kematian berlaku membabitkan sindiket itu dan ada satu kematian direkodkan secara rasmi di Myanmar,” katanya ketika ditemui ketika menyerahkan memorandum di hadapan Kedutaan Laos di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, memorandum itu untuk meminta Kerajaan Laos mengeluarkan kenyataan dan berusaha bersama dengan Kedutaan Malaysia di negara itu untuk membebaskan serta menyelamatkan rakyat negara ini yang terperangkap di Laos terutama di kawasan Golden Triangle.

Katanya, mereka juga berharap Kerajaan Laos dapat mengikut contoh Kerajaan Kemboja yang menubuhkan ‘Task Force’ dalam usaha menghalang kegiatan itu.

“Kita tidak mahu ada tindakan tidak mengikut undang-undang, sebab itu kita guna saluran diplomatik dan cara demokratik untuk menyatakan kepada Kerajaan Laos mengenai perkara ini.

“Atas semangat setia kawan ASEAN dan Kerajaan Malaysia menjaga rakyat Laos di sini, ini juga harapan kita daripada kerajaan negara itu. Mereka juga perlu menjaga rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Sementara itu, penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, mangsa yang selamat digesa membuat laporan polis untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang terbabit dengan kes itu.

“Ini supaya kita dapat menghapuskan aktiviti dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini