comscore
Tumpuan :
Nasional

Tauliah ceramah di masjid di bawah kuasa Raja-Raja Melayu, bukan saya – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI BAKAP: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan urusan memberi tauliah ceramah khususnya di masjid diputuskan Majlis Agama Islam negeri dan Raja-Raja Melayu.

Katanya ada sesetengah pihak cuba memberi  gambaran seolah-olah keputusan tidak memberikan tauliah ceramah berpunca daripada dirinya meskipun beliau tidak mempunyai kuasa sedemikian.

“Ada orang kata sebab Anwar jadi Perdana Menteri, ada orang tak dapat tauliah (mengajar). Dengar baik-baik, ini bukan keputusan saya, ini keputusan Raja Raja Melayu, saya tak campur urusan siapa dapat tauliah atau tak.

“Saya tidak mencampuri urusan siapa dapat tauliah. Itu fitnah.

“Ada ketetapan dibuat bahawa tazkirah boleh, ceramah boleh, namun kempen politik tidak dibenarkan. Ini keputusan Raja-Raja Melayu. Hang tak reti undang-undang, jadi fahami hal sedemikian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap.

Justeru, Anwar menasihatkan tokoh-tokoh agama membuat permohonan secara rasmi serta mengemukakan rayuan kepada Raja atau Sultan sekiranya berhasrat terlibat aktif dalam memberikan ceramah di masjid.

Sebelum ini, beberapa tokoh agama mendakwa dihalang daripada menyampaikan kuliah di masjid tertentu atas pelbagai sebab termasuk tidak memiliki tauliah untuk mengajar.

Dalam perkembangan lain, Anwar mahu pembangunan masjid menumpukan soal kebertanggungjawaban kepada kariah terutama golongan fakir.

“Kita bangunkan masjid untuk teguhkan iman. Bila kita percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka kita akan fokus kepada usaha membantu menoktahkan kemiskinan tegar ini.

“Saya mahu ketua kampung, jawatankuasa masjid dan kepimpinan dari pelbagai peringkat sampaikan maklumat mengenai individu fakir di kawasan masing-masing kepada Pejabat Daerah terdekat. Kita mahu bantu mereka tahun ini juga, tanpa ada satu pun yang terlepas,”katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM7 juta sebagai tambahan dana RM2 juta yang dikutip bagi pembinaan baharu Masjid Lama Sungai Bakap.

Loading...
Terkini