comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Tatanan’, ‘gejolak’ antara istilah digunakan Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen petang Jumaat, menghiasi ucapannya dengan penggunan istilah Bahasa Melayu yang mungkin jarang digunakan rakyat Malaysia.

Berikut antara istilah yang digunakan beliau;


Membugar (3 kali sebutan)

Definisi: segar-~ sangat sihat; kebugaran 1. hal subur (tentang tumbuhan): benih itu lebih besar dan akan tumbuh sbg pokok-pokok yg rendah dan penuh ~; 2. hal sihat dan segar (tentang tubuh manusia). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.”


Walhasil (3 kali sebutan)

Definisi: 1. dan hasilnya, kesudahannya, ke­simpulannya: maka panjanglah borak dan bual kedua-dua orang perempuan itu, ~ apabila perempuan berjumpa sama-sama perempuan macam-macamlah jadi; 2. sebenarnya, pd hakikatnya: pd namanya saja mereka itu Islam, ~ pd amalannya mereka menyimpang drpd ajaran Islam. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Walhasil, kemakmuran yang dicapai akhirnya tidak diragukan lagi menjadi tidak mampan dan bersifat sementara seraya hutang terus membengkak untuk dibeban dan ditinggalkan kepada generasi akan
datang.”


Prakarsa (4 kali sebutan)

Definisi: inisiatif, daya usaha, ikhtiar. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan.”


Tatanan (3 kali sebutan)

Definisi: Jw ark aturan, sistem, susunan, tata­tertib. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Belanjawan yang bakal terhampar ini pastinya akan mencakup serta mencerminkan cita murni rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif.”


Kesenjangan (3 kali sebutan)

Definisi: keadaan senjang, ketidak­se-imbangan, kelainan, perbezaan; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Pertimbangan dunia sekarang membicarakan pertumbuhan yang rancak tapi tidak boleh terlepas dari usaha bagi merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.”


Kerencaman (2 kali sebutan)

Definisi : perihal rencam (terdiri drpd pelbagai macam), kepelbagaian: ~ dan ke­pelbagaian corak bahan cerita rakyat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.”


Gejolak (1 kali sebutan)

Definisi: nyala api yg besar (berkobar-kobar);bergejolak menyala-nyala (api, perasaan, dll), berkobar-kobar (nafsu dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Dalam suasana ekonomi dunia yang rencam kini, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain punyai fundamentals yang kukuh bagi menepis sebarang gejolak yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.”


Galau (1 kali sebutan)

Definisi : kebisingan, kekacauan;bergalau terlalu ramai dan sibuk, kacau-bilau: bunyi suara orang ~ datang dr arah belakang rumah; tiada sesuatu pun dapat dikatakannya walaupun di dlm dadanya bergelora perasaan yg ~ dan bergolak; ~ orang di pasar sangat ramai; fikirannya ~ fikirannya keliru;kegalauan 1. kebisingan, kekalutan: tatkala berhadapan dgn ~, berkidung-kidunglah agar sukmanya tenteram; 2. kekeliruan: ~ fikiran. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan; kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh.”


Mengislah (1 kali sebutan)

Definisi: Ar 1. usaha utk mengembalikan sesuatu keadaan kpd suatu keadaan yg betul, tepat dan sesuai; 2. penyelesaian perbalahan dgn jalan baik atau dgn jalan damai. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

” Maka, Belanjawan MADANI Ketiga akan menghimbau perihal mengislah lebih tegas.”


Mencakup (4 kali sebutan)

Definisi: 1. menyauk atau mencedok (dgn tangan); 2. = mencakupi ki merangkumi beberapa hal dsb, meliputi: seminar itu ~ semua aspek dlm bidang pendidikan bahasa dan sastera; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Bagi menjamin perubahan, tekad reformasi yang kita anjurkan mesti terpasak kemas dengan keyakinan bahawa ia mesti diperhebat dengan mencakup langkah-langkah pembaharuan fiskal yang lebih segar dan secara lebih agresif, memungkinkan rombakan institusi serta meningkat tahap keupayaan dan ketangkasan serta mutu perkhidmatan kepada rakyat.”


Kendatipun (5 kali sebutan)

Definisi: walaupun, meskipun, biarpun: janggallah sekiranya permulaan babak ini didahului oleh si gadis, kendatipun begitu, tentunya ada juga yg berlaku; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Transaksi mencurigakan lebih 380 juta ringgit berjaya disekat dalam membendung kes scam di Malaysia. Kendatipun demikian, isu scam masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat.”


Arakian (1 kali sebutan)

Definisi : ® arkian. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Arakian, reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.”


Membenih (1 kali sebutan)

Definisi: mulai wujud (timbul) sesuatu perasaan (keadaan dan sebagainya): perasaan cinta sedang membenih; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Setakat ini, ikhtiar Sejati MADANI berjaya membenih lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan.”


Mutakhir (1 kali sebutan)

Definisi: terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu, kemas kini: membicarakan puisi Malaysia ~; A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera ~ di dunia; kajian yg dilakukan pd tahun-tahun ~ ini. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Mutakhir ini sering terjadi insiden tanah jerlus dan tanah runtuh. Ini termasuk kejadian menyayat hati yang menimpa seorang wanita warganegara India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.”


Ketempangan (2 kali sebutan)

Definisi: 1. perihal (keadaan dsb) tem-pang, kecapikan, kepincangan; 2. cacat, cela; 3. hal yg tidak wajar (tidak adil dll), keadaan tidak wajar: bolehkah kita mengatasi ~ musyawarah kita serta kembali ke musyawarah yg sebenar. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Maka, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana Kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak. Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.”


Wewenang (1 kali sebutan)

Definisi: Jw hak dan kekuasaan (utk berbuat sesuatu): eh, kalau aku punya ~, aku juga ingin punya duit banyak-banyak. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Pimpinan universiti dan para ilmuan perlu diberi ruang dan wewenang untuk menggagaskan pembaharuan ke arah kemantapan dan peningkatan mutu.”


Cakna (2 kali sebutan)

Definisi: Tr ambil peduli, ambil berat: semenjak emak kau meninggal, sayalah yg ~ makan minum ayah kau. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Kerajaan cakna dan akan memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik berada pada tahap terbaik.”


Menyemangati (2 kali sebutan)

Definisi: memberi semangat (kpd), membangkitkan semangat (keberanian, ke-mahuan, dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

“Negarawan Rom Kuno Marcus Tullius Cicero menyatakan, “prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity”. Menyemangati maksud itu, maka untuk kembali meletakkan tatanan ini ke landasan yang tepat, kita mesti berhemah dalam soal perbelanjaan negara sementara kita memahami bahawa adalah kelaku biasa di manamana negara bekas penjajah untuk “spend big to win big” tanpa mengambil peduli mengenai dampak jangka masa panjang kepada negara.”


Strim pembentangan penuh Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”

Klik pautan berikut;

Facebook: https://fb.watch/vhMjkEW-YC/
Youtube: https://youtube.com/live/guIX21ibvbs?feature=share

Platform informasi digital Belanjawan 2025: Berita terkini, laporan langsung & inti pati penting di buletintv3.my/belanjawan2025

#BuletinTV3 #Belanjawan2025TV3 #Belanjawan2025 #Bajet2025 #EkonomiMADANI #BelanjawanMADANI


Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini