Tumpuan :
Nasional

Tarian mencolok mata: Penganjur mohon maaf, dikompaun RM10,000

KOTA BHARU: Penganjur majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa menampilkan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah, Sabtu lalu, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kompaun terbabit sudah dibayar kepada pihak MDTM, semalam.

Beliau berkata, kompaun berkenaan dikenakan mengikut Seksyen 6 Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

“Pihak penganjur juga telah menghantar surat permohonan maaf kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atas pelanggaran terbabit.

“Penganjur turut menandatangani satu aku janji dengan PBT dan bersetuju untuk merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengadakan acara pada masa depan,” katanya.

Hilmi memaklumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, denda bagi kesalahan seumpama itu akan meningkat kepada RM50,000 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 yang memperkenalkan peraturan serta pelesenan lebih ketat.

Beliau sekali gus mengingatkan individu atau syarikat yang mahu menganjurkan acara hiburan, supaya mengemukakan permohonan lebih awal bagi memudahkan proses semakan dan mengelak sebarang pelanggaran peraturan.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video berdurasi 31 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang wanita membuat persembahan tarian mencolok mata pada majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan di Tanah Merah.

Susulan itu, media melaporkan MDTM melancarkan siasatan berhubung dakwaan kejadian pada Sabtu lalu berkenaan.

Selain itu, sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) turut disiasat kerana didakwa membenarkan dewannya dijadikan lokasi acara terbabit, yang melanggar peraturan negeri.

Sebelum ini, Hilmi dipetik berkata, hasil siasatan awal mendapati pihak penganjur berkenaan tiada memohon sebarang permit untuk mengadakan majlis terbabit.

Beliau berkata, difahamkan bahawa kebanyakan hadirin pada majlis itu adalah pelombong daripada Tanah Besar China yang bekerja di kawasan perlombongan emas Sokor di Tanah Merah, bersama kakitangan syarikat dan tetamu lain.

“Terdapat penduduk tempatan beragama Islam yang bekerja di syarikat berkenaan, turut hadir.

“Kami kesal dengan tindakan penganjur menyediakan hiburan sedemikian dan menggunakan dewan sekolah sebagai lokasi acara itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini