Tumpuan :
Nasional

Tarian Dabus: Seni warisan negeri Perak curi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan 

Persembahan Tarian Dabus ditarikan bagi mempamerkan kepahlawanan yang tangkas dan lincah.

Oleh: Kumaran Rajamoney 

TAIPING: Tarian Dabus, seni tarian pahlawan negeri Perak yang kian tenggelam ditelan arus zaman mencuri tumpuan pada Program Semarak Merdeka di sini, hari ini.

Lapan pelajar Sekolah Menengah Kampung Perak, Batu Kurau menarikan tarian itu dengan lengkap pakaian pahlawan Melayu Perak dan diiringi muzik tradisi.

Jurulatih, Mohd Yusri Zabidi berkata tarian ini berkonsepkan kepahlawanan dan sudah berusia lebih 300 tahun.

“Tarian Dabus ini dibawa daripada Parsi dan mempersembahkan tentang kekebalan dan kekuatan seseorang pahlawan. Ia menggunakan sejenis senjata dinamakan Dabus sebagai alat utama.”

“Kesukarannya cuma kita risau pelajar tak dapat membawa karakter seorang pahlawan itu sendirilah dari segi ketangkasan dan pergerakan yang lincah,” katanya.

Kesenian ini katanya menggabungkan elemen-elemen muzik, nyanyian, tarian serta keberanian, dan biasanya dipersembah dalam majlis-majlis keramaian.

Jurulatih, Mohd Yusri Zabidi memastikan setiap elemen dalam persembahan termasuk pakaian rapi dan kemas.

Penari, Muhammad Adam Azri Mohd Zabri berkata, persiapan rapi perlu dibuat bagi mendapatkan rentak tarian yang baik.

“Hendak dapatkan pergerakan itu yang susah. Untuk pertandingan, latihan lazimnya dibuat selama lebih satu bulan.”

“Harapan saya agar lebih ramai rakyat negeri Perak dan Malaysia mendalami mengenai seni budaya negeri ini, agar ia tidak lupus.”

Penari, Muhammad Adam Azri Mohd Zabri.

Naib Johan pertandingan Tari Pencak Peringkat Negeri Perak ini antara kumpulan persembahan sempena Semarak Merdeka Sambutan Hari Malaysia Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) 2024 di Dataran Warisan Taiping, di sini hari ini.

Selain persembahan tarian kebudayaan, sambutan turut diserikan dengan persembahan Brass Band, Kawad Formasi, perarakan kenderaan pasukan beruniform serta pameran statik agensi keselamatan.

Majlis dihadiri Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh dan Pegawai Daerah LMS, Mohd Nasrul Menhat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini