comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Tapi, yang pulang adalah jenazah Abi, ibu dan adik”.- Anak mangsa

FOTO: NSTP

MUAR: Anak sulung kepada pasangan Allahyarham Amir Ruddin Ismail, dan Norahimah Noor Muhamad yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, petang semalam tidak menyangka menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

“Kami baru sahaja bersua muka sebelum mereka bertolak namun takdir Allah, saya kehilangan ahli keluarga sekali gus,” kata Abdur Rahman Amir Ruddin, 19.

Abdur Rahman turut kehilangan empat lagi adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dalam kemalangan itu.

Dia yang juga bilal di surau Ladang Selai dekat Kluang berkata, bapanya yang dipanggil sebagai ‘Abi’ bersama adik beradik lain dalam perjalanan menghantar ibunya yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak dekat Segamat.

“Pada hari kejadian, saya tidak bersama mereka kerana ada urusan lain dan sempat memberitahu arwah ibu akan jumpa di rumah nenek. Sebaik tiba di Tangkak, saya mendapat panggilan daripada saudara sebelah ibu mengatakan mereka kemalangan.

“Saya tidak terkata-kata apatah lagi mendapat tahu ibu, Abi dan empat adik turut meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Lapis Darat, di sini.

Menurutnya lagi, pada hari kejadian dia menerima mesej menerusi WhatsApp serta sekeping gambar yang dengan tulisan ‘kami balik dulu’ pada jam 3.08 petang.

Katanya, itulah mesej terakhir yang diterima dan sehingga dia mendapat berita mendukacita mengenai keluarganya.

“Abi bertugas sebagai imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang dan kami tinggal bersebelahan dengan rumahnya disebabkan tugas sebagai bilal di tempat berbeza.

“Ibu datang ke rumah Abi memandangkan cuti persekolahan dan sepatutnya pulang ke rumahnya di Segamat pada hari kejadian.

“Pada masa sama, Abi juga mahu menghantar tiga adik Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi di Kundang Ulu, Bukit Gambir hari ini.

“Tapi, yang pulang adalah jenazah Abi, ibu dan adik. Adik Fatimatulzahrah baru sahaja dinobatkan sebagai antara terbaik dalam Mumtaz Sufi di pusat tahfiznya, bulan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdur Rahman berkata, sebelum bergerak ke Segamat, Abinya sempat meninggalkan pesan supaya banyak bersedekah supaya dimurahkan rezeki.

“Abi pesan sedekah ini membuka jalan dan doa makhluk untuk kita, saya sentiasa ingat pesan Abi sampai bila-bila,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan adiknya, Abdullah yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Abdur Rahman berkata, keadaan adiknya masih kritikal.

“Saya dimaklumkan adik mengalami kecederaan dalam dengan usus dan hati pecah. Saya berdoa semoga dia selamat,” katanya.

Loading...
Terkini