KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lapan notis kompaun pelbagai kesalahan terhadap pihak yang terbabit dengan aktiviti di tapak pembuangan sampah haram di sekitar Bukit Bintang.
Menurut DBKL, susulan operasi, notis kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
“Selain itu, dua notis Penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 juga turut dikeluarkan.
“Empat notis pemberitahuan tentang kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 juga telah dikeluarkan ke atas tapak aktiviti pembuangan itu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Tapak pembuangan sampah itu juga telah diberikan Notis Pemberhentian Kerja (SWO) serta-merta dan tiga buah kenderaan telah dikenakan tindakan sita.
“Semua kenderaan disita telah dibawa ke Depoh Tunda DBKL, Sentul. DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di adukl.dbkl.gov.my.”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.