NIBONG TEBAL: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang terbakar dua tahun lalu, terbakar lagi semalam susulan cuaca panas.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, keluasan kawasan kebakaran yang terbabit dianggarkan seluas 3,500 meter persegi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah menjalankan pemadaman awal, namun keadaan berangin kencang menyebabkan kebakaran tidak dapat dikawal.
“Kami menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk bantuan dan tindakan awal yang dilaksanakan adalah dengan membuat kawalan secara ‘water curtain’ supaya kebakaran tidak terus merebak ke kawasan lain.
“Pada masa sama, MBSP telah membantu membuat ‘fire-break’ bagi mengepung kawasan yang terbakar dengan pemadaman seterusnya dilakukan menggunakan kaedah penggemburan sisa dan semburan air dan api berjaya dikawal pada 5.23 petang.
“Kawasan berkenaan juga ditutup dengan tanah merah dan setakat jam 11 malam, keadaan dilaporkan terkawal, sementara pihak bomba masih berada di lokasi bagi melakukan pemantauan,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.
Katanya, seramai 117 anggota terdiri daripada JBPM serta bomba sukarela sekitar Seberang Perai termasuk 42 petugas MBSP terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.
Mengulas lanjut, Jason berkata, MBSP akan mengambil langkah mengurangkan risiko kebakaran di tapak pelupusan Sampah Pulau Burung di masa akan datang dengan meningkatkan pemantauan di kawasan lereng dan membuat penutupan sampah di kawasan aktif mengikut piawaian yang ditetapkan.
“MBSP juga akan menambah lori tangki bagi tujuan ‘standby’ (siap sedia) di tapak bagi memastikan tindakan awal dapat diambil dengan pantas sekiranya kejadian ini berulang,” katanya.
Pada Januari 2022, media melaporkan tapak pelupusan sampah itu terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi yang kemudian ia diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kebakaran berkenaan mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.
Akibat kejadian itu juga, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru di sini yang berdepan masalah pencemaran udara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa